Video yang memaparkan kereta jenis Myvi dipandu laju yang merempuh sebuah van dan Proton Waja itu, viral di media sosial semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kemalangan jalan raya, yang menyebabkan seorang pemandu cedera parah di Bandar Kinrara, Puchong, petang semalam.

Video yang memaparkan kereta jenis Myvi dipandu laju yang merempuh sebuah van dan Proton Waja itu, viral di media sosial semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Supt Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 2.40 petang semalam.

“Pengadu seorang anggota polis kebetulan berada di tempat kejadian, yang telah dimaklumkan oleh seorang lelaki telah berlaku satu kemalangan dan pemandu salah sebuah kenderaan telah cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh orang awam.

“Tangkapan semula telah dilakukan ke atas suspek itu dan dia dibawa ke Balai Polis Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan dalam semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapat kereta jenis Myvi berkenaan dipandu secara melulu serta laju, sehingga melanggar van yang berada di hadapan sebelum terbabas.

Katanya mangsa yang cedera parah iaitu pemandu van telah dibawa ke Hospital Serdang dan kini masih berada di zon merah.

“Butiran mangsa masih belum diperolehi dari pihak hospital dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA