GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah tayar hadapan sebuah lori sampah dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Lee Chee Seng, 61, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Difahamkan, motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa bertembung dengan kenderaan milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika melalui lebuhraya tersebut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Nor Azman Abdullah Dani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada jam 8.01 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Kita menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian tayar hadapan lori sampah itu.

“Mangsa yang selamat dikeluarkan pada jam 9.11 pagi itu disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai kesihatan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba sedang melakukan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian tayar hadapan lori sampah berkenaan.

Tambah beliau, operasi tamat jam 9.15 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut. – MalaysiaGazette