Abdul Halim serta pihak pengurusan kilang semasa lawatan di Skyview, asrama pekerja yang menempatkan sekitar 3,000 pekerja di Solok Beringin, Batu Maung.

KUALA LUMPUR – Sebilangan besar kes Covid-19 di Pulau Pinang berpunca daripada kegagalan beberapa kilang membendung penularan wabak ini.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), sektor industri menyumbang 50 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19, 16 peratus dari Kluster Penjara, 4 peratus kluster pembinaan dan baki 30 peratus daripada kluster lain.

Walau bagaimanapun, 50 peratus yang disumbang oleh sektor industri tidak menggambarkan keseluruhan industri kerana kes-kes tersebut hanya membabitkan beberapa kilang menyebabkan wabak ini menjangkiti pekerja kilang lain.

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, kerajaan negeri sedia membantu kilang-kilang ini untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Abdul Halim bersama pihak pengurusan kilang dalam perbincangan untuk menangani wabak koronavirus dalam kalangan industri perkilangan di Pulau Pinang.

“Kami percaya Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis PErbandaran Seberang Prai sedia membantu dalam mengekang penambahan kes saban hari.

“Kita harus meneliti amalan prosedur operasi standard (SOP) terbaik yang mampu membantu menghentikan penyebaran kepada komuniti setempat dan kilang-kilang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Halim, terdapat beberapa syarikat besar tempatan dan multinasional yang telah berjaya mengekang penyebaran wabak Covid0-19 dalam kalangan pekerja dengan cara perlaksanaan SOP yang baik.

“Sekiranya kilang-kilang ini tidak bertambah baik, kerajaan negeri mungkin akan mencadangkan  langkah yang lebih bersasar bagi menjamin kerjasama mereka,” tegasnya.

Abdul Halim menambah, terdapat beberapa sektor peruncitan dan perhotelan yang melibatkan banyak peniaga kecil dan pengusaha mikro telah tekesan akibat Perintah Perlaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP), walaupun mereka hanya penyumbang kecil kepada kes Covid-19.

“Perkara ini menunjukkan seolah-oleh kita tidak berlaku adil jika beberapa kilang ini masih dibenarkan beroperasi tanpa mengambil langkah serius dalam membendung wabak ini.

“Oleh itu, saya menyeru agar Kerajaan Persekutuan melalui JKN dan MKN untuk menggunakan pendekatan yang lebih bersasar, lebih fokus kepada beberapa kilang ini.

“Jika PKP terus dilaksanakan disebabkan segelintir kilang yang tidak mematuhi SOP ini, ianya hanya akan mencetuskan lagi kemarahan rakyat Pulau Pinang.” ujarnya. -MalaysiaGazette