Datuk Abdul Aziz Bin Jusoh bercakap ketika di temui di Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim-YWM dan pelepasan konvoi program Musa'adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Rantau Panjang di Dataran Kompleks Islam Putrajaya (JAKIM). Foto FIKRI YAZID, 24 FEBRUARI 2021

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah selesai bermuzakarah bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri mengenai ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh Wan Noor Hayati Wan Alias atau ‘Ibu Yati’.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, keputusan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke 118 sudah pun diserahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu dan menunggu keputusan untuk diumumkan.

“Kita telah bincang dalam muzakarah pada minggu lepas. Saya tidak boleh komen lagi. Kita akan bawa ke Majlis Raja. Kita ada bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam majlis penyerahan sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-YWN, di pejabatnya hari ini.

Awal bulan ini, Zulkifli berkata, Jakim akan melakukan muzakarah sebelum memfatwakan sesuatu ajaran itu sebagai sesat atau sebaliknya.

Katanya, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, ia perlu dilakukan dengan amat berhati-hati bagi memastikan tindakan atau keputusan yang diambil kelak tidak dianggap gopoh atau kekurangan maklumat.

Sebelum ini, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menggesa seluruh umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh Ibu Yati.

Ajaran itu tersebar melalui rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai Ibu Yati melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma) dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.

Terdahulu dalam majlis itu, Jakim dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) menyumbang sebanyak  RM60,000 untuk Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir ke Pasir Mas Kelantan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.