Pengasas aplikasi Sugarbook, Chan Eu Boon diringi anggota Polis semasa hadir untuk pertuduhan di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2021.

SHAH ALAM – Pengasas Sugarbook mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyiarkan hantaran berkaitan Sugarbaby hingga menimbulkan kegentaran masyarakat umum dua minggu lalu.

Tertuduh, Chan Eu Boon, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sabreena [email protected]

Dia yang turut dikenali sebagai Darren Chan berkemeja kelabu tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 9.40 pagi dengan tangan bergari.

Mengikut fakta pertuduhan, Eu Boon didakwa menyiarkan satu hantaran bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby Universities In Malaysia’ dengan niat hendak mencetuskan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Kesalahan itu dilakukan pada 10 Februari lalu, jam 10 pagi dan hantaran itu dilihat lebih kurang 6.26 petang hari yang sama, di sebuah universiti awam di Shah Alam, Selangor.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimun dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Ashraf Anuar Sharuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000.

“Ini kerana kesalahan yang dipertuduhkan serius dan melibatkan kepentingan awam.

“Aplikasi itu kemudiannya boleh dilihat orang awam sehingga menimbulkan ketakutan serta kegentaran,” katanya.

Bagaimanapun, peguam tertuduh T. Shahi Devan dan Pauling Hee membantah cadangan ikat jamin itu kerana tidak munasabah dan terlalu tinggi.

Shashi Devan berkata, anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan memadai jika mahkamah memberi ikat jamin pada kadar lebih rendah.

“Tertuduh masih bujang dan berhasrat untuk berkahwin tetapi ditangguhkan kerana keadaan negara,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Sabreena membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang telah ditahan pada 4.30 petang, 17 Februari lalu di sebuah kondominium di ibu negara. – MalaysiaGazette