Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hadir bagi pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Program Imunisasi Kebangsaan 2021 yang bermula hari ini akan digerakkan secara berperingkat dan terawal melibatkan negeri Selangor.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, empat negeri akan bermula pada 1 Mac, tiga negeri pada 2 Mac dan terawal adalah esok di Selangor.

“Di Wilayah Persekutuan akan bermula 1 Mac depan, Selangor 25 Februari. Perak, Johor, dan Perlis pada 1 Mac. Negeri Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan pada 2 Mac, Pahang 26 Februari, Terengganu dan Sarawak 26 Februari, Kedah 28 Februari, dan Sabah 4 Mac,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11 hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan 2021 berkata, kerajaan masih dalam penilaian vaksin keluaran Johnson & Johnson.

Ujarnya, proses kontrak perincian masih dalam proses untuk ditamatkan oleh kerajaan.

“(Vaksin) Johnson and Johnson masih dalam penilaian kita dan akan tamatkan termship mereka. Yang lain masih dalam penilaian NPRA tetapi saya dimaklumkan bahawa penilaian itu sedang berjalan dengan pantas,” jelas Ahli Parlimen Rembau itu.

Khairy pada minggu lalu berkata, kerajaan akan menandatangani kontrak pemerolehan vaksin Covid-19 Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata, makluman klinikal mengenai vaksin itu amat positif dan jemaah menteri, berdasarkan syor Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) membuat keputusan untuk membeli vaksin berkenaan. – MalaysiaGazette