Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ketika Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 146,258 individu berjaya mendapatkan kerja menerusi Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 diadakan secara maya sejak 23 Febuari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 18, 653 majikan.

Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai kejayaan yang dibanggakan.

“Dalam keadaan begini bagi mendapatkan peluang pekerjaan bagi hampir 200,000 orang adalah satu kejayaan membanggakan,” katanya ketika sidang media selepas perasmian Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 dan Pelancaran Portal MYFutureJobs yang berlangsung secara atas talian hari ini.

Dalam masa yang sama, Saravanan memaklumkan, portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs sehingga kini berjaya membantu seramai 185,493 individu memperoleh pekerjaan.

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 161,603 adalah penempatan pekerjaan bagi tahun 2020.

“Perkeso bertindak sebagai broker pekerjaan di mana menerusi portal MYFutureJobs menawarkan 137,041 kekosongan jawatan aktif sehingga 24 Februari lalu.

“Jumlah ini mencerminkan peningkatan positif pemulihan ekonomi dan KSM (Kementerian Sumber Manusia) yakin dengan kerjasama semua pihak terbabit jumlah pekerjaan dipertingkatkan dari masa ke semasa,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak RMRM354.34 juta telah dibayar sebagai insentif dibawah PenjanaKerjaya, 1.0 dan 2.0.-MalaysiaGazette