Carlos Ghosn, foto Agensi

ISTANBUL – Mahkamah Turki menjatuhkan hukuman penjara ke atas tiga individu yang didakwa membantu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nissan, Carlos Ghosn melarikan diri dari Jepun ke Lubnan menerusi lapangan terbang Istanbul.

Eksekutif sebuah syarikat kargo swasta dan dua juruterbang yang dituduh ‘menyeludup migran’ masing-masing dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dua bulan.

Defendan, Okan Koseman, eksekutif syarikat kargo swasta itu berkata, dia tidak berniat untuk melakukannya dan menyifatkan pembabitan beliau sebagai ‘malang’.

Juruterbang, Bahri Kutlu Somek memberitahu mahkamah bahawa beliau akan melakukan penerbangan yang sama jika diberi tugas sekali lagi, lapor agensi berita, Anadolu.

“Saya tidak mendapat faedah daripada acara ini. Jika saya mempunyai kepentingan, saya tidak akan meminta larangan perjalanan ke luar negara ditarik bagi membolehkan bekerja untuk berbulan-bulan, Saya seorang pesara dan hidup bersama ibu saya,” katanya yang menafikan dakwaan itu

Seorang lagi juruterbang, Noyan Pasin menyatakan bahawa beliau telah melaksanakan tugas yang diberi oleh syarikatnya dan mendakwa Carlos Ghosn melepasi semua lokasi pemeriksaan di Jepun dan Istanbul.

Beliau berkata, tidak terdapat elemen perundangan jenayah penyeludupan migran.

Mahkamah turut mendenda setiap defendan sebanyak 31,240 lira Turki (AS$4,300)

Mahkamah membebaskan defenda lain iaitu  Serhat Kahvecioglu, Ozgu Bilge Bayram dan Nesrin Altunalan.

Dua penerbangan yang menggunakan dua pesawat peribadi dari Osaka, Jepun ke Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul dan kemudian ke Beirut merupakan sebahagian daripada siasatan yang dilakukan.

Salah sebuah pesawat yang belepas dari Osaka mendarat di Lapangan Terbang Ataturk pada jam 5.15 pagi waktu tempatan 29 Disember 2019 manakala pesawat Bombardier Challenger 300 berlepas dari lapangan terbang tiba di Beirut pada jam 6 pagi waktu tempatan 30 Disember.

Pada November 2019, Ghosn ditahan pihak berkuasa Jepun atas dakwaan rasuah semasa beliau menjawat jawatan Pengerusi Nissan.

Pada minggu lalu pihak berkuasa Lubnan mengumumkan beliau tiba di negara itu ‘secara sah’. – MalaysiaGazette