Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini merekodkan 12 kes kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu, Selangor sekali lagi melaporkan jumlah kes tertinggi iaitu sembilan kes.

Manakala Sarawak mencatatkan dua kes kematian manakala satu di Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada sembilan kematian di Selangor, enam kes berlaku di Hospital Serdang manakala tiga lagi kes berlaku di Hospital Kuala Lumpur.

“Kesemua 12 kes mati akibat Covid-19 itu adalah kategori usia antara 52 hingga 91 tahun dan lima daripada mereka pesakit adalah wanita.

“Dua kes mati turut direkodkan di Hospital Sibu Sarawak dan satu kes mati di Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang yang mana ketiga-tiga mangsa berusia 91, 74 dan 77 tahun,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 harian hari ini.

Tambah Noor Hisham, kesemua kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara tempatan.

“Hampir kesemua mangsa yang meninggal dunia itu mempunyai latar belakang penyakit kronik antaranya kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok, buah pinggang, dislipidemia, obesiti, dementia, penyakit tuberkulosis, adrenal insufficiency dan gaut.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian yang direkodkan di dalam negara sehingga kini adalah sebanyak 1,100 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan,” tegasnya.-MalaysiaGazette