ACP Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menangkap dua suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah samun di sebuah kilang di Selayang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sekitar jam 5.38 pagi, Pusat Kawalan IPD Gombak menerima maklumat satu kejadian samunĀ  di sebuah kilang di Taman Perindustrian Selayang Baru, Selayang.

Katanya, mangsa terdiri daripada empat lelaki warga tempatan berusia antara 32 hingga 63 tahun merupakan pekerja gudang tilam dan pengawal keselamatan.

“Polis mendapati suspek terdiri dari dua lelaki bersenjatakan sebatang tukul besi dan melarikan barangan milik mangsa iaitu dua unit telefon bimbit dan sebuah motokar jenis Hyundai Elantra berwarna putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, tambah Arifai, jam lebih kurang 8.30 malam semalam, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah berjaya menangkap suspek dua lelaki di sebuah bengkel motosikal di Kampung Laksamana, Batu Caves, Selangor.

Katanya, hasil daripada soal-siasat yang dijalankan ke atas suspek, pasukan polis telah berjaya menemui motokar jenis Hyundai Elantra berwarna putih milik mangsa di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Kampung Laksamana, Batu Caves.

Siasatan mendapati pada hari kejadian jam lebih kurang 5.05 pagi, salah seorang mangsa (pekerja gudang) ketika keluar daripada keretanya di tempat kejadianĀ  didatangi dua suspek bersenjatakan sebatang tukul besi.

“Kedua-dua suspek terus menahan dan mengikatnya mangsa menggunakan pita pelekat lutsinar bersama tiga rakan sekerjanya yang lain.

“Suspek kemudian menyamun dua buah telefon bimbit dan melarikan motokar jenis Hyundai Elentra milik mangsa dan siasatan lanjut mendedahkan suspek berjaya memecah masuk dan cuba melarikan sebuah peti besi daripada kilang tersebut tetapi gagal,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan kedua-dua suspek berusia 39 dan 44 tahun itu kini direman enam hari mulai hari ini hingga 2 Mac ini untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan polis semasa tangkapan berjaya merampas sebuah motokar Jenis Hyundai Elantra berwarna putih yang disamun dari salah seorang mangsa pekerja gudang itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette