Khashoggi
Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat pada 2 Oktober lalu dan tidak keluar dari premis berkenaan. foto BBC
WASHINGTON – Laporan perisikan Amerika Syarikat (AS) versi rahsia yang dijangka didedahkan hari ini mendapati Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman memberi kebenaran pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi, kata para pegawai AS yang arif dengan perkara tersebut.

Para pegawai berkata, laporan yang mana Agensi Perisikan Pusat (CIA) merupakan penyumbang utama, menilai bahawa Putera Mahkota itu membenarkan dan kemungkinan mengarahkan pembunuhan kolumnis akhbar Washington Post, Khashoggi yang mengkritik dasar-dasar Putera Mahkota itu.

Presiden Joe Biden yang menggantikan Donald Trump lima minggu lalu memberitahu para wartawan bahawa beliau telah membaca laporan itu dan menjangka akan menghubungi Raja Arab Saudi, Raja Salman, 85, yang merupakan bapa Putera Mahkota yang berusia 35 tahun itu.

Penyiaran laporan itu merupakan sebahagian daripada polisi Biden untuk merapatkan hubungan dengan Riyadh selepas berlembut dengan sekutunya terhadap rekod hak asasi manusia dan campur tangan dalam perang saudara di Yemen, lapor Reuters.

Semalam, Jurucakap White House, Jen Psaki yang memberitahu wartawan bahawa Biden hanya akan menghubungi Raja Arab Saudi dan berkata, laporan rahsia Khashoggi sedia untuk disiarkan.

Ketika Biden menghadkan untuk menghubungi raja itu, pentadbiran Biden telah menghubungi pelbagai peringkat  pegawai Arab Saudi.

“Kami telah menghubungi para pegawai Arab Saudi pelbagai peringkat pada awal minggu pentadbiran ini,” kata jurucakap Jabatan Negara, Ned Price.

Wartawan Washington Post, Khashoggi, 59, memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018 dan dibunuh sepasukan individu yang dikaitkan dengan Putera Mahkota Arab Saudi.

Mereka mengerat anggota tubuhnya namun ia tidak ditemui.

Bagaimanapun, Riyadh mengaku Khashoggi dibunuh oleh operasi ekstradisi ‘penyangak’ yang gagal namun menafikan sebarang pembabitan Putera Mahkota.

Lima lelaki telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun kerana membunuh namun mereka dimaafkan oleh ahli keluarga Khashoggi.

Laporan versi rahsia dikongsi dengan Ahli Kongres pada akhir 2018.

Bagaimananpun, pentadbiran Trump menolak permintaan Ahli Kongres dan kumpulan hak asasi manusia untuk menyiarkan versi rahsia itu, bagi mengekalkan kerjasama dengan Riyadh ketika ketegangan meningkat dengan musuh serantaunya, Iran dan mempromosikan penjualan senjata AS kepada Arab Saudi. – MalaysiaGazette