KUALA LUMPUR – Selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah disuntik vaksin Covid-19, hari ini tiba giliran beberapa pemimpinan Perikatan Nasional (PN).

Antaranya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Status itu dimuatkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Saya bersama-sama Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga tiga petugas barisan hadapan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Semoga usaha ini dapat melandaikan keluk jangkitan Covid-19 agar kita semua dapat kembali menikmati kehidupan seperti sediakala. Insya Allah,” kata Mohd Zuki di Facebook beliau.

Ini menjadikan Adham salah seorang menteri pertama yang telah disuntik dengan vaksin Pfizer BioNTech.

Turut disuntik tiga petugas barisan hadapan di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, hari ini.

Semalam, Program Imunisasi Kebangsaan 2021 dimulakan apabila program vaksinasi percuma secara besar-besaran untuk memastikan penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing, dilindungi daripada Covid-19 yang sudah menjangkiti lebih 290,000 orang dan meragut lebih 1,000 nyawa. – MalaysiaGazette