JAKARTA – Seorang anggota polis yang dipercayai mabuk dan enggan membayar bil minuman keras bertindak menembak mati tiga individu dalam satu kejadian di sebuah kafe di Cengkareng, Jakarta barat.

Menurut media tempatan, dalam kejadian 4 pagi tadi itu, mereka yang terbunuh ialah pelayan dan  juruwang kafe serta seorang tentera Indonesia.

Kejadian itu menjadi “sohor kini” atau “trending” di media sosial di Indonesia, mempersoalkan bagaimana kafe berkenaan masih beroperasi ketika pelaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat yang hanya membenarkan semua restoran dan kafe dibuka sehingga 8 malam sahaja.

Menurut laporan media tempatan, suspek enggan membayar bil minuman keras berjumlah Rp3.3 juta (RM1,000) sebelum terjadi pertengkaran dengan juruwang kafe berkenaan.

Suspek kemudiannya mengeluarkan senjata api dan menembak empat mangsa, tiga daripadanya maut, manakala seorang lagi iaitu pengurus kafe berkenaan cedera.

Ketua Polis Metro Jakarta Barat, Ady Wibowo dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata polis masih melakukan siasatan terperinci: “Benar, terjadi kasus (kes) penembakan yang menyebabkan tiga orang meninggal dunia,” katanya.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.