Director-General of Health Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah PIX: Facebook side effect Covid-19 vaccine
Director-General of Health Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah PIX: Facebook

KUALA LUMPUR – Selepas 24 jam disuntik vaksin Covid-19, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan tubuhnya tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan.

Malah Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, beliau berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kesakitan.

“Alhamdulillah, sehari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, tiada kesan sampingan yang dialami setakat ini. Tiada gejala demam atau pun rasa sakit di tempat suntikan.

“Jumlah larutan vaksin yang digunakan adalah hanya 0.3ml dan jarum yang digunakan adalah jarum yang halus iaitu saiz 25 G,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Noor Hisham menjadi individu ketiga negara yang disuntik vaksin Pfizer BioNTech selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemandu Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, Clement a/l Marai Francis.

Semalam Muhyiddin yang menerima vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya berkata, beliau tidak berasa sakit apabila disuntik vaksin itu oleh Ketua Jururawat Kesihatan PKD, Lina Ibrahim.

“Tak rasa sakit apa pun. Macam suntikan biasa,” kata Muhyiddin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan 2021 secara rasminya dilancarkan Muhyiddin semalam dan pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera turut dibuka kepada orang ramai bermula semalam. – MalaysiaGazette