Foto Instagram Wawa Zainal.
KUALA LUMPUR – Pelakon Wawa mengakui dia pernah meminta cerai daripada suaminya yang juga pelakon, Aeril Zafrel kerana ketika itu usianya masih muda dan masih belum matang.
Bagaimanapun katanya atau nama sebenar, Nur Hawa Zainal Abidin, berkat kesabaran yang dimiliki oleh Aeril, perkahwinan mereka kekal sehingga kini.
“Pada waktu itu Wawa masih muda, kita sejenis belum matang maksudnya sikit-sikit gaduh, sikit-sikit benda yang kecil diperbesarkan. Sikit-sikit tanpa berfikir panjang, ‘eh kau ceraikan aku’.
“Saya belajar daripada sikap Aeril untuk menjadi seorang penyabar. Masa tu Aeril sangat sabar melayan Wawa,” katanya.
Dia meluahkan pengalaman itu menerusi perkongsian doktor perubatan dan pakar motivasi terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad, di Instagram yang memuat naik satu hantaran perbualan bersama pasangan romantis itu membahaskan isu perkahwinan.
Foto Instagram Prof Muhaya Official.
Menerusi video berdurasi lebih kurang tiga minit, pasangan selebriti tersebut berkongsi mengenai perjalanan rumah tangga mereka yang dipenuhi dengan suka duka.
Pada awal perkahwinan, pasangan ini memaklumkan pernah dihentam kontroversi cukup hebat melibatkan pernikahan mereka yang sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan serta sumber pendapatan.
Sementara itu, Wawa turut menjelaskan bahawa dia banyak belajar melalui sikap Aeril yang penyabar dan menegaskan pentingnya sikap bertolak ansur dengan pasangan masing-masing.
“Alhamdulillah, Wawa pun tak sangka kami bertahan sehingga sekarang, sembilan tahun perkahwinan yang mana Wawa banyak terinspirasi daripada Aeril. Banyakkan bersabar dan bertolak ansur dengan pasangan masing-masing,” katanya.
Wawa dan Aeril Zafrel berkahwin pada tahun 2013 secara rahsia sehingga mengejutkan banyak pihak.
Bagaimanapun, setelah berkahwin hampir lapan tahun, mereka kini dilihat hidup bahagia bersama tiga orang cahaya mata. – MalaysiaGazette