Gambar hiasan

CHICAGO – Boeing Co. bersetuju untuk membayar denda sebanyak AS$ 6.6 juta ($ 8.76 juta) kepada pengawal selia Amerika Syarikat (AS) etelah gagal mematuhi perjanjian 2015 untuk meningkatkan proses keselamatannya.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengumumkan hukuman tersebut dalam siaran akhbar.

Syarikat itu bersetuju untuk membayar AS$ 5.4 juta untuk menyelesaikan kes-kes sebelumnya yang dihadapi terhadap syarikat itu dan AS$ 1.21 juta lagi untuk dua kes baru-baru ini, kata agensi itu.

“Boeing gagal memenuhi semua kewajibannya berdasarkan perjanjian penyelesaian dan FAA meminta Boeing bertanggungjawab dengan menjatuhkan hukuman tambahan.

“Saya telah berulang kali memaklumkan kepada kepemimpinan Boeing dari semasa ke semasa bahawa syarikat ini mesti mengutamakan keselamatan dan patuh kepada peraturan,dan FAA akan selalu mengutamakan keselamatan dalam semua keputusannya,” kata Pentadbir FAA, Steve Dickson.

Saham Boeing jatuh 5.6 peratus kepada AS$216.45 pada sesi penutup di New York, penurunan terbesar pada Dow Jones Industrial Average di tengah-tengah pergolakan saham AS.

Perjanjian itu berlaku hanya beberapa bulan lalu setelah penggantungan pesawat terlaris Boeing, 737 Max, ditarik balik selepas 20 bulan tidak dibenarkan beroperasi.

Tindakan Boeing itu mendorong penggubal undang-undang dan lain-lain mengecam budaya keselamatan syarikat tersebut yang menyebabkan kerugian penjualan dan kos lain berjuta-juta dolar.

Boeing bulan lalu, secara berasingan bersetuju membayar AS$ 2.5 bilion untuk menyelesaikan kes jenayah terhadapnya oleh Jabatan Kehakiman AS.

Syarikat itu dituduh menipu pemerintah dengan menyembunyikan maklumat mengenai 737 Max.

Wall Street dan Kongres mendakwa hukuman itu ringan kerana sebahagian besarnya adalah wang yang telah dipersetujui syarikat untuk membayar kepada syarikat penerbangan dan keluarga mangsa kemalangan.

Antara isu yang dikemukakan oleh FAA adalah “tekanan tidak wajar” diberikan kepada pekerja Boeing yang dilantik oleh pemerintah untuk menandatangani perubahan reka bentuk bagi memenuhi peraturan Persekutuan.

Pekerja tersebut seharusnya bertindak secara bebas di bawah peraturan FAA.

Boeing sebelum ini membayar denda sivil sebanyak AS$ 12 juta sebagai syarat awal perjanjian 2015.

Syarikat pada masa itu menyelesaikan 13 siasatan berasingan yang dijalankan oleh FAA yang berkisar daripada masalah yang timbul semasa pensijilan pesawat baharu disebabkan kelalaian di kemudahan pengeluaran Boeing.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Boeing bersetuju untuk meningkatkan proses keselamatannya dan mengutamakan mematuhi peraturan FAA, kata agensi itu.

Ia bersetuju dengan hukuman tambahan sekiranya gagal melakukannya.

Boeing gagal memenuhi beberapa “sasaran peningkatan” dan “beberapa pengurus syarikat tidak cukup mengutamakan kepatuhan terhadap peraturan FAA,” kata FAA dalam siaran tersebut. – MalaysiaGazette