Dalam rakaman video kejadian, kelihatan seorang wanita terpaksa mencampakkan empat orang anaknya dari sebuah tingkap demi menyelamatkan mereka dari sebuah bangunan yang dijilat api di Istanbul, semalam. foto agensi

ISTANBUL – Seorang wanita nekad mencampakkan empat orang anaknya dari tingkat tiga sebuah bangunan yang dijilat api di Turki, semalam.

Kesemua anaknya itu tidak mengalami kecederaan, lapor media Turki.

Rakaman video menunjukkan wanita itu mencampak anak-anaknya dari tingkap tingkat tiga sebuah bangunan yang diselubungi asap hitam tebal.

“Setiap anaknya telah dicampak keluar dari tingkap tersebut dan para sukarelawan menyambut kanak-kanak tersebut menggunakan selimut,” menurut rakaman kejadian.

Sementara itu, laporan media Turki berkata, jeritan orang ramai mula kedengaran dan meminta wanita tersebut supaya tidak mencampak anak-anaknya itu.

“Namun, orang ramai mula lega apabila kesemua kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Dalam masa sama, wanita itu telah dimasukkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan dibenarkan pulang selepas selesai pemeriksaan,” menurut laporan media Turki. – MalaysiaGazette