MOSCOW – Sebuah pesawat Boeing, B777 melakukan pendaratan cemas di Moscow berikutan masalah enjin, kata syarikat yang menggendalikan pesawat tersebut, beberapa hari selepas serpihan enjin model yang sama bertaburan di Amerika Syarikat (AS)

Rossiya Airlines berkata, kru mendapati ‘operasi yang tidak betul sensor kawalan enjin’ pada penerbangan kargo dari Hong Kong ke Madrid dan mereka memutuskan untuk melakukan pendaratan cemas di Moscow.

Syarikat penerbangan tersebut berkata, pendaratan tidak berjadual itu dilakukan tanpa sebarang insiden dan tiada sesiapa mengalami kecederaan.

Pesawat tersebut akan meneruskan perjalanannya ke Madrid selepas mehalami kelewatan beberapa jam, tambahnya.

Insiden tersebut berlaku selepas beberapa hari Boeing mengesahkan berpuluh-puluh pesawat B777 digantung operasi berikutan enjin pesawat United Airlines terbakar dan serpihannya bertaburan di pinggir bandar Denver, Colorado.

Tidak jelas sama ada pesawat B777 yang melakukan pendaratan kecemasan di Moscow itu dilengkapi dengan enjin yang sama yang bertaburan di Colorado pada minggu lalu. – MalaysiaGazette