Selepas mengalami tempoh setahun tanpa pendapatan, separuh pemandu bas sekolah telah bertukar kerja untuk meneruskan kehidupan.

KUALA LUMPUR – Selepas mengalami tempoh setahun tanpa pendapatan, separuh pemandu bas sekolah telah bertukar kerja untuk meneruskan kehidupan.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, penurunan jumlah pengusaha juga bermakna ibu bapa mungkin berdepan kesukaran untuk mencari bas sekolah di sesetengah tempat apabila sekolah dibuka nanti.

Beliau berkata, persatuan pimpinannya mempunyai 12,000 ahli, tetapi separuh daripada jumlah itu telah bertukar kerja, manakala separuh lagi meneruskan perkhidmatan.

Katanya, sesetengah pemandu juga mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta mungkin bertukar kerja selepas ini.

“Hakikatnya, pengusaha berdepan kos yang tinggi termasuk kos penyelenggaraan, cukai jalan dan pemeriksaan.

“Ramai pengusaha sudah tidak sanggup bertahan selepas ketiadaan pendapatan selama setahun.

“Sesetengah pengusaha juga bimbang sekolah akan ditutup semula sekiranya keadaan wabak menjadi serius,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, banyak pengusaha yang masih berhutang dalam pinjaman kenderaan juga memilih untuk menjual bas sekolah mereka.

Katanya, pembukaan sekolah secara berperingkat juga membimbangkan pengusaha kerana ia bermaksud penurunan penumpang dan pendapatan berbanding sebelum ini.

“Jika pembukaan sekolah dijalankan mengikut darjah dan tingkatan, penumpang kami akan menjadi sangat sedikit,” katanya.

Menurutnya lagi, disebabkan ibu bapa masih kurang optimis dengan keadaan COVID-19, maka pengusaha bas sekolah secara puratanya hanya menerima 10 peratus penumpang.

“Ini bermakna jika bas sekolah boleh menerima 30 hingga 40 orang dalam keadaan biasa, mereka hanya menerima tiga hingga empat orang penumpang sekarang.

“Ini akan menyebabkan kerugian besar dan permintaan yang tidak tinggi mendorong sesetengah pengusaha memilih gulung tikar,” katanya.

Mohd. Rofik meminta kerajaan menyediakan subsidi supaya pengusaha bas sekolah boleh mengisi diesel dengan RM1 seliter untuk mengurangkan beban mereka.

“Disebabkan kenaikan harga minyak, penyediaan subsidi minyak pasti akan memberi motivasi kepada pengusaha,” katanya.

— MalaysiaGazette