Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media mengenai suntikan vaksin Pfizer BioNTech Covid-19 di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, Putrjaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Kebangsaan 2021 dilaksana secara sukarela, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menteri penyelaras program itu berkata, ia bagi menolak sebarang teori konspirasi yang akan timbul sekiranya kerajaan mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 seperti negara jiran, Indonesia.

“Buat masa ini, kerajaan mengambil keputusan dan dasar kerajaan adalah vaksin ini adalah secara sukarela. Kita hendak menyakinkan rakyat kalau kita kata wajib, macam Indonesia pula sebab mereka adakah satu-satunya negara dalam dunia yang mewajibkan suntikan vaksin.

“Negara lain mengikut nasihat WHO adalah sukarela, kita nak bina keyakinan rakyat bahawa vaksin ini selamat dan berkesan kalau kita paksa, barulah akan ada macam-macam konspirasi teori,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam bual bicara secara langsung berjudul Vaksin: Nak Ambil Atau Tidak? oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebentar tadi yang turut dihadiri ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kerajaan meletakkan sepenuhnya keputusan kepada rakyat samada untuk mengambil vaksin itu atau tidak.

“Kita nak katakan tiada konspirasi teori, itu adalah keputusan rakyat. Tetapi jangan kita ganggu orang lain yang sudah yakin kepada vaksin,” katanya.

Ditanya samada rakyat negara ini boleh memilih atau tidak vaksin yang akan disuntik ke badan mereka, Khairy berkata, kerajaan mengambil pendirian untuk menerima sahaja apa pilihan yang ada di pasaran.

Jelas beliau, segala keputusan untuk membenarkan penggunakan sebarang vaksin kepada rakyat negara ini telah dikaji Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Buat masa ini pendirian kerajaan adalah kita terima vaksin yang diberikan kepada kita.

“NPRA di KKM yang akan kaji nilai, baca segala maklumat perubatan yang masuk ke negara kita. Dia tidak akan lulus atau benarkan apa-apa prudok perubatan ke dalam negara kita selagi tidak puas hati dengan dua perkara utama iaitu keselamatan dan keberkesanan produk itu.

“Terima sahaja apa vaksin buat masa ini kerana ia selamat dan ia berkesan,” katanya lagi.

Menurut Khairy, sejumlah 40,000 rakyat pelbagai negara telah disuntik dengan vaskin Pfizer-BioNTech sebelum ia diedarkan kepada negara-negara lain. – MalaysiaGazette