Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat negara ini adalah bagi mengelakkan risiko kesan pendamik itu untuk jangka panjang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, suntikan vaksin perlu diberikan kepada semua rakyat kerana kerajaan tidak mahu mengambil risiko untuk dijangkiti semula.

“Pertama walaupun kadar kematian di negara ini adalah rendah, kita tidak mahu ambil risiko untuk dijangkiti dengan Covid-19.

“Kita tidak mahu ambil risiko itu dan positif sebab kita tidak tahu kesannya bagaimana. Majoriti kes-kes di negara ini adalah kes yang pulih, tanpa gejala adalah okey untuk positif Covid-19 tapi akan ada kesan negatif daripada jangkitan Covid-19.

“Mereka masuk ICU, memerlukan bantuan pernafasan, atau mati. Dari segi logik kita nak ambil risiko untuk kita dapat jangkitan Covid-19 itu bukan penyelesaiannya. Bila kita buat penilaian risiko, lebih baik kita ambil vaksin daripada dedahkan diri rakyat dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam bual bicara secara langsung berjudul Vaksin: Nak Ambil Atau Tidak? oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebentar tadi.

Hadir sama Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Khairy berkata, banyak kajian mendapati jangkitan Covid-19 memberi kesan kepada bekas pesakit setelah mereka sembuh.

Tambah beliau, sistem respitori seseorang didapati terjejas walaupun telah sembuh.

“Jantung mereka, kesihatan mereka di mana kawan saya usia 35 tahun walaupun dia sudah pulih daripada Covid-19 beberapa bulan lepas tapi dia letih pada waktu malam.

“Walaupun kita boleh pulih daripada Covid-19, kita sudah tahu bahawa kesan jangka masa panjang. Kenapa kita nak beri risiko kepada rakyat untuk mendapat Covid-19,” katanya.

Justeru itu, Khairy berkata, negara tidak akan mencapai matlamat untuk imuniti kelompok sekiranya hanya golongan tertentu sahaja yang diberikan suntikan vaksin.

Malah katanya, golongan yang tidak disuntik vaskin Covid-19 mungkin boleh dinafikan kebebasan mereka terutamanya untuk keluar negara.

“Mungkin satu ketika nanti mereka hanya benarkan orang yang boleh tunjuk dia ada bukti divaksinkan untuk pergi keluar negara. Mungkin akan beri kelonggaran kepada mereka yang tidak boleh terima vaksin, yang ada masalah sistem imun, mengandung dan sebagainya.

“Jika anda sihat dan tidak divaksinkan, mereka tidak boleh masuk ke negara asing seperti Arab Saudi untuk menunaikan umrah dah haji. Ia mungkin akan menggangu kebebasan kita untuk melaksanakan kehidupan harian termasuklah perlu keluar negara,” kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu lagi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada Rabu lalu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech. – MalaysiaGazette