GURU
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 55,539 orang guru yang berisiko tinggi akan menerima vaksin Covid-19 fasa pertama.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin menerusi ciapannya di Twitter.

Beliau turut memaklumkan akan menerima suntikan Vaksin Covid-19 pada pagi ini.

“Pagi ini saya bersama lima orang guru akan menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Seramai 55,539 orang guru berisiko tinggi mengalami kesan negatif daripada jangkitan Covid-19 akan menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama,” katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi yang pertama menerimanya 24 Febuari yang lalu.

Diikuti dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi yang kedua menerima vaksin.-MalaysiaGazette