Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kemampuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyesuaikan diri dengan keperluan semasa telah memastikan pelaburannya dapat memberikan pulangan mampan jangka panjang dalam keadaan norma baharu.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu sebanyak RM60.98 bilion, yang mana RM6.15 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, prestasi yang baik ini adalah hasilpendekatan berhemah berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang telah memastikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis yang tidak dijangka ini.

Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 46 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti sebanyak 42 peratus. Hartanah dan Infrastruktur dan instrumen Pasaran Wang masing-masing merangkumi 5 peratus dan 7 peratus daripada pelaburan.

“KWSP ialah pelabur jangka panjang dan kekal komited dengan program diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, strategi, pengurus, pasaran, negara dan mata wang.

“Pendapatan daripada aset luar negara juga memainkan peranan penting bagi prestasi kami,” jelas Ahmad Badri dalam kenyataan hari ini.

Dana persaraan itu mengumumkan dividen 5.2 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus bagi Simpanan Shariah.

Menurut Ahmad Badri, setakat akhir tahun lalu, 33 peratus daripada aset pelaburan KWSP berada di luar negara, merangkumi pelbagai kelas aset, seperti ekuiti, khususnya ekuiti asing yang terus menjadi pemacu pulangan pendapatan pelaburan sebanyak RM28.71 bilion.

Sementara itu, katanya, portfolio ekuiti persendirian menunjukkan prestasi yang kukuh dengan agihan yang konsisten.

Beliau berkata, salaupun indeks-indeks saham utama mengalami kerugian sebanyak 40 peratus pada suku tahun pertama, KWSP mengambil peluang bagi mengimbangi portfolio dengan membeli aset yang kukuh pada harga yang berpatutan.

Pemulihan pada separuh tahun kedua berikutan pasaran domestik dan global yang kian baik turut menyumbang kepada portfolio pelaburan KWSP. Ini memberi peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan, terutamanya pada suku keempat tahun 2020.

KWSP juga mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira turun nilai kos sebanyak RM7.71 bilion daripada ekuiti tersenarainya untuk memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Pada tahun lalu, KWSP juga memperkenalkan beberapa kemudahan pengeluaran, iaitu i- Lestari dan i-Sinar yang memerlukan rancangan kecairan yang mantap.

Para pencarum membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KWSP, menurut Ahmad Badri, telah meningkatkan alokasi kepada portfolio instrumen Pasaran Wang bagi memenuhi keperluan tersebut. Portfolio instrumen Pasaran Wang menyumbang sebanyak RM1.19 billion kepada pendapatan KWSP.

Dengan hampir separuh daripada keseluruhan peruntukan aset KWSP dalam instrumen Pendapatan Tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf serta Bon & Pinjaman, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil.

KWSP juga, katanya, mengambil peluang untuk meraih keuntungan apabila kadar faedah mengalami penurunan, dengan pendapatan sebanyak RM25.42 bilion, atau 42 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan kasar KWSP.

Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur merekodkan pendapatan sebanyak RM5.66 bilion. Kelas aset tersebut berhadapan dengan cabarannya yang tersendiri, apabila Perintah Kawalan Pergerakan dan amalan bekerja dari rumah menjadi norma baharu dan memberi kesan kepada pendapatan yang lebih rendah daripada segmen tertentu dalam sektor hartanah.

Walau bagaimanapun, keseluruhan portfolio tersebut terus memainkan peranan penting sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dengan pulangan sekitar 50 mata asas melebihi instrumen Pendapatan Tetap,” katanya.

Aset pelaburan keseluruhan KWSP meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada hujung tahun lalu.

Jumlah ahli KWSP turut meningkat sebanyak 2 peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398. KWSP kini memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap 1 peratus dividen untuk Simpanan Konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap 1peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2020. – MalaysiaGazette