Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kanan) menerima kotak bungkusan Vaksin Sinovic daripada Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing (tiga kiri) sebagai simbolik penyerahan pada ketibaan kumpulan pertama vaksin Sinovac buatan syarikat biofarmaseutikal dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor. Foto Ihsan JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Setiap penerima vaksin Covid-19 tidak terkecuali daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha membendung penularan pandemik tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan, SOP dikekalkan pematuhannya walaupun seseorang itu sudah menerima suntikan vaksin menerusi program imunisasi vaksin kebangsaan.

“Sebab apa, kita bukannya tidak yakin dengan keberkesanan vaksin itu tetapi masih belum ada data penuh.

“Jadi walaupun sudah mengambil vaksin, semua SOP yang dikuatkuasakan KKM menerusi Akta 342 iaitu, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan cecair sanitazi lebih kerap serta mengelak tempat sesak masih digunapakai dan diwajibkan,” katanya.

Beliau berkata demikia dalam sidang media khas ketibaan kumpulan pertama vaksin Sinovac berjumlah 200 liter secara pukal dari China di KLIA pagi tadi.

Menurut Khairy, sejak program imunisasi kebangsaan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga  penerima pertama suntikan vaksin, seramai 3,580 orang telah melalui proses tersebut sehingga semalam.

Beliau juga dimaklumkan bahawa sehingga 7 pagi tadi, sebanyak 1,183,779 pendaftran diterima melalui aplikasi MySejahtera untuk program penerimaan vaksin yang dilaksanakan dalam tiga fasa berlainan,” tegasnya. – MalaysiaGazette