Mahathir Mohd Rais

KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempertimbangkan tawaran daripada terus menerima jawatan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuktikan beliau berjiwa besar dan sanggup menolak jawatan tersebut demi memperkasakan Parti Peribumi Bersatu Malaysa (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, alangkah baiknya juga jika pemimpin Parti UMNO dapat mencontohi sikap seperti ini, usahlah dipolitikkan segala perkara.

Ini sebenarnya peluang yang amat baik buat parti UMNO untuk kembali menawan hati rakyat dengan bersikap matang, mengutamakan kepentingan agama bangsa dan negara melangkaui kepentingan peribadi.

Menurutnya, dalam berhadapan dengan situasi dan norma politik yang baharu, pemimpin UMNO haruslah bersikap terbuka dan berjiwa besar dalam usaha menjayakan matlamat yang lebih utama iaitu mengukuhkan tali persefahaman dan berganding bahu merealisasikan impian penyatuan ummah seperti mana aspirasi umat Melayu dan Islam yang ingin melihat sebuah kerajaan berkebajikan yang benar-benar berkhidmat dan berijwa rakyat.

Masa berbaki sudah tidak lama, katanya.

Sudah tentu dengan peluang yang terbentang, Timbalan Presiden Bersatu itu dapat memainkan peranan penting untuk membantu Presiden menyelesaikan permasalahan dalaman dan luaran parti, sekali gus dapat memberi ruang sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus fokus mengemudi jentera kerajaan bagi menjayakan fasa pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

”Dengan adanya juga gandingan pemimpin muda seperti Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, yang begitu aktif turun padang mendengar rintihan akar umbi dan rakyat serta sentiasa menjadi perisai kepada parti di peringkat nasional didalam menangkis tohmahan pembangkang, tidak mustahil jika kita dapat menawan hati rakyat meskipun dalam masa yang singkat!

”Pemerkasaan dan kerjasama sesama rakan komponen dalam PN perlu diperkemaskan demi membentuk sebuah pasukan yang jitu, kuat dan utuh bagi menghadapi PRU-15,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mahathir, akar umbi menyambut baik pendirian yang dibuat oleh Ahmad Faizal dan yakin beliau sentiasa komited dan teguh dalam usaha untuk mengukuhkan PN dan berupaya mencorak langkah proaktif untuk segera menyelesaikan permasalahan ‘adik-beradik’ dengan UMNO. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.