Laili Yusof

MERSING – Pergolakan dalaman Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing menjadi panas apabila Ketua Bahagian, Laili Yusof didakwa menubuhkan biro wanita sebagai sayap kiri parti seolah-olah menafikan kewujudan Srikandi.

Biro tersebut ditubuhkan kira-kira enam bulan selepas Laili menang pemilihan ketua bahagian dengan mengalahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alawiyah Talib dan Sulong Jusoh pada Mac tahun lepas.

Tidak pasti apa motif Laili tetapi kesannya, lebih separuh daripada ahli jawatankuasa (AJK) bahagian kini menolak beliau apabila pandangan pelbagai pihak berhubung kedudukan Srikandi tidak dipedulikan.

Seorang AJK Bahagian yang enggan namanya disiarkan berkata, tindakan Laili ternyata membelakangkan perlembagaan parti serta mengikut haluan sendiri.

“Jawatan Srikandi dimenangi oleh Norafida Shamsuddin melalui pemilihan parti dan sepatutnya, Laili kena akur dengan keputusan ahli yang membuat pemilihan.

“Biarpun Norafida bukan di dalam ‘cai’ Laili ketika bertanding, sepatutnya dia diterima sebagai satu pasukan kerana kita masih di bawah satu bumbung.

“Ini tidak. Ketua Bahagian tak terima kemenangan Norafida sebaliknya menubuhkan biro wanita yang diketuai oleh ‘orangnya’, Salmiah Hassan menyebabkan kami protes apabila pandangan kami tidak diterima Laili,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Ujarnya, ketua bahagian sepatutnya bersikap profesional kerana adat pertandingan ada menang ada kalah.

“Kita bukan nak burukkan parti tetapi kalau dah susah nak bekerjasama, perkara ini akan terbongkar juga lebih-lebih lagi dalam persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 nanti.

“Kalau pemimpin bahagian tak boleh terima pandangan ahli dan pentingkan diri sendiri, tak ada gunanya kami duduk dalam parti dan lebih baik kami bawa haluan sendiri,” tambahnya.

Fida ketika dihubungi enggan mengulas panjang perkara tersebut.

“Saya tak boleh nak kata apa-apa kerana semua masalah ini telah sampai ke pihak atasan dan saya harap ia dapat diselesaikan dengan lebih berhemah.

“Saya dipilih oleh ahli untuk jawatan Srikandi dan saya berhasrat untuk sama-sama memantapkan parti. Sebaiknya tanyalah ketua bahagian sendiri tentang penubuhan biro wanita itu,” katanya.

Sebagai rekod, parti pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini mempunyai enam cawangan di Mersing dengan jumlah keahlian kurang daripada 1,000 orang.

ADUN Endau, Alawiyah dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Latif Ahmad merupakan ahli parti Bersatu yang melompat parti selepas menang pilihan raya ke-14 lalu atas tiket UMNO.

Kedua-dua pemimpin ini  tidak memegang sebarang jawatan di peringkat bahagian.

Hanya Latif yang dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Negeri Johor. – MalaysiaGazette