Joe Biden. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Joe Biden berkata, pentadbirannya akan membuat pengumuman mengenai Arab Saudi pada hari Isnin susulan laporan perisikan Amerika Syarikat (AS) mendapati Putera Mahkota Mohammed bin Salman telah bersetuju wartawan Jamal Khashoggi dibunuh.

Pentadbiran Biden telah menghadapi beberapa kritikan, terutama sebuah editorial di Washington Post, yang menyatakan presiden seharusnya bertindak lebih keras terhadap putera mahkota, yang tidak dikenakan sekatan meskipun dipersalahkan kerana ada kaitan dengan pembunuhan Khashoggi.

Ketika ditanya tentang hukuman ke atas de facto Arab Saudi itu, yang juga dikenal sebagai MbS, Biden berkata: “Akan ada pengumuman pada hari Isnin mengenai apa yang akan kita lakukan ke atas Arab Saudi secara umum.”

Namun Biden tidak memberikan perincian lanjut.

Tetapi seorang pegawai White House berkata, tidak ada langkah baru yang diharapkan.

“Pentadbiran mengambil pelbagai tindakan baharu pada hari Jumaat. Presiden sebenarnya merujuk kepada fakta bahawa pada hari Isnin, Jabatan Negara akan memberikan lebih banyak perincian dan menghuraikan pengumuman tersebut, bukan pengumuman baru,” kata pegawai itu.

Khashoggi, seorang penduduk AS yang menulis kolum untuk Washington Post adalah pengkritik dasar MbS.

Dia dibunuh dan mayatnya dikerat oleh satu kumpulan yang dikaitkan dengan putera raja di Konsulat Kerajaan Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018.

Pemerintah Arab Saudi, dalam satu kenyataan Jumaat lalu menafikan penglibatan putera mahkota itu dan mengulangi kenyataan sebelumnya bahawa pembunuhan Khashoggi adalah kejahatan keji oleh kumpulan jahat. – MalaysiaGazette