Dua kanak-kanak perempuan maut akibat lemas manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang semasa mandi di Pantai Sungai Ular, Kuantan, Pahang..

KUANTAN – Dua kanak-kanak perempuan maut akibat lemas manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang semasa mandi di Pantai Sungai Ular di sini hari ini.

Mangsa yang lemas dikenali sebagai Fitrah Dhia Zahraa’ Zaidi, 9, dan jirannya, Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13 manakala Mohd Fazrul Hakimi, 11, yang juga adik kepada Nor Najuwa masih belum ditemukan.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 5.45 petang iaitu 10 minit selepas mangsa bersama-sama ahli keluarganya tiba di pantai yang terletak kurang 200 meter dari rumah mereka.

“Kita difahamkan kanak-kanak terlibat terdiri daripada dua jiran yang tinggal di sebuah kuarters guru berhampiran. Mereka ke pantai bersama ahli keluarga dewasa, namun dikatakan telah berlari meninggalkan kumpulan itu, mungkin disebabkan terlalu teruja untuk mandi.

“Kejadian lemas difahamkan terjadi di hadapan ahli keluarga lain, yang lewat hanya beberapa minit di belakang mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang juga kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa’ , juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, bagaimanapun diselamatkan oleh orang awam.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata operasi mencari dan menyelamat Mohd Fazrul Hakimi yang bermula petang tadi akan diteruskan hingga 10.30 malam, melibatkan pencarian dalam lingkungan hingga 2 kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, operasi itu melibatkan pegawai dan anggota polis, bomba serta bantuan 65 penduduk kampung selain nelayan yang mempunyai bot sendiri bersetuju menawarkan bantuan mencari mangsa di pesisir pantai.

Mayat  mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

— BERNAMA