Empat kru kapal Epic Princess yang diselamatkan.

KUALA LUMPUR –  Empat kru kapal persiaran Epic Princess berdepan detik cemas apabila kapal yang dinaiki hampir karam selepas terlanggar objek pada kedudukan 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang, Langkawi, Kedah, 10.30 malam tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan dan kapal maritim KM Tenggol diaturgerak bagi menyelamat mangsa kapal persiaran terbabit.

Maklumat mengenai kejadian berkenaan juga turut disalurkan kepada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Dalam kejadian itu, kapal terbabit dipercayai telah terlanggar objek lalu kandas yang menyebabkan kapal tersebut hampir karam di kawasan Pulau Lalang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim berkata, mangsa Nor Azman Saparin yang merupakan kepten kapal berusia 42 tahun bersama kru kapal yang lain berumur lingkungan 29 hingga 54 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Terkini, kapal persiaran yang hampir karam tadi telah ditunda ke Boustead Shipyard untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette