Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan menteri kabinet menunaikan solat hajat pada Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional di Masjid Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 28 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Sempena setahun pentabdiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Majlis ulang tahun yang pertama itu dimulakan dengan solat maghrib secara berjemaah dan disusuli dengan solat hajat yang turut dihadiri oleh beberapa Jemaah Menteri Kabinet.

Antaranya Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Solat hajat anjuran Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah disertai lebih 200 jemaah.

Ini termasuklah jemaah menteri Kabinet serta beberapa pemimpin daripada parti pemerintah, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO.

Selesai solat hajat, Muhyiddin bersama jemaah yang hadir membaca surah Yassin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin Imam Sudais Malaysia, Ustaz Syukri Ali.

Selepas selesai doa selamat, semua jemaah berdiri dan mengalunkan selawat yang dipimpin Ustaz Syukri Ali bersama Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Mohd Hashim.

Majlis bersurai selepas solat Isyak dan Muhyiddin bersama jemaah menteri Kabinet meninggalkan Masjid Putra kira-kira jam 9.10 malam tadi. – MalaysiaGazette