Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Peningkatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang kini mencecah 8,274 kawasan dengan 248,220 keahlian di seluruh negara membuktikan wujudnya kesedaran orang ramai terhadap kepentingan komponen perpaduan itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kepentingan peranan Rukun Tetangga dalam kalangan masyarakat semakin menyerlah apabila negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Saya menyambut baik peningkatan penubuhan KRT ini kerana ia adalah petunjuk baik yang membuktikan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan peranan Rukun Tetangga.

“Cabaran yang kita hadapi semenjak dunia dilanda wabak Covid-19 lebih setahun yang lalu telah menyerlahkan kepentingan Rukun Tetangga di kalangan masyarakat.

“Ia bertepatan dengan semangat Kita Jaga Kita dan rakyat menunjukkan semangat kekitaan tinggi dan sentiasa saling bantu-membantu dalam mendokong segala usaha kerajaan memerangi wabak ini,” katanya berucap di laman sesawang pemerkasaankomunitikrt.com, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Dalam masjlis, Muhyiddin juga mengumumkan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021 bertujuan untuk memperkasa peranan KRT di peringkat akar umbi menerusi kerjasama pihak kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.

“Sebanyak empat Agenda Kerja KRT yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan inisiatif Rukun Tetangga, ini termasuklah Agenda Kerja KRT Selamat.

“Ia akan digerakkan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berperanan untuk meronda dan mengawal mana-mana premis atau lokasi di Kawasan Rukun Tetangga dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Selain itu, agenda kedua pula ialah Agenda Kerja KRT Sihat yang memberi penekanan kepada usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti.

“Ia hasil kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat,” jelasnya.

Bagi agenda ketiga pula ialah Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah yang menumpukan kepada program pembersihan dan pengindahan di kawasan komuniti.

“Ia dengan sokongan Kementerian Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah pelaksanaan Program Local Agenda 21,” katanya.

Manakala agenda keempat pula ialah Agenda Kerja KRT Sejahtera untuk mengenal pasti kumpulan rentan seperti ibu tunggal, golongan kelainan upaya, warga emas dan golongan kurang berkemampuan.

“Ia bertujuan untuk memberi bantuan melalui pelaksanaan inisiatif seperti Projek Ekonomi Rukun Tetangga dan Program Sayangi Komuniti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette