Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto FAREEZ FADZIL.

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti lima sindiket dadah yang berpangkalan di negara ini dan didalangi orang kenamaan.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador susulan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit dalam negara hampir setiap minggu.

Jelas Abdul Hamid, berdasarkan siasatan tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menunjukkan sindiket-sindiket yang ditumpaskan didalangi orang kenamaan yang berselindung di sebalik orang suruhan mereka.

“Sudah lama orang kenamaan ini dalam perhatian PDRM cuma bukti nak kaitan mereka terus dalam kegiatan itu sedang dikumpulkan.

“Kita tidak mahu buat rampasan dan tangkapan terhadap orang suruhan di bawah sedangkan dalang utamanya bebas menggerakkan sindiket baru bagi menjana keuntungan atas kerja haram sebegini.

“PDRM akan cari mereka ini dan bawa ke muka pengadilan sekali gus memastikan sindiket dadah dibanteras habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tan Sri, Datuk dalang sindiket dadah bukan ahli politik – Bukit Aman