Fadillah Yusof

PUTRAJAYA – Menyedari cabaran yang dihadapi oleh sektor pembinaan akibat penularan Covid-19 dalam memastikan semua pekerja asing di syarikat pembinaan disaring, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bersetuju  menyediakan peruntukan sejumlah RM7 juta.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, ia bagi memastikan syarikat pembinaan yang tidak mampu menyediakan peruntukan untuk membuat ujian saringan kepada pekerja asingnya.

“Walaupun sudah ada bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tapi mereka kena keluarkan duit dahulu, baru boleh tuntut semula. Ada syarikat kecil dan sederhana tidak mampu.

“Sebab itu CIDB sudah bersetuju akan memperuntukkan sejumlah RM7 juta untuk membantu syarikat-syarikat ini dapat menyegerakan ujian kepada pekerja asing yang berdaftar.

“Diharapkan apabila ujian ini berjalan, ia dapat mengurnagkan risiko penularan di tapak bina,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Turut hadir tiga lagi Menteri Kanan iaitu Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut Fadillah Yusof, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat minggu lalu.

“Ini diharapkan bila ujian saringan itu berjalan dapat kurangkan risiko penularan di tapak bina. Ia adalah salah satu kawalan yang kita buat,” katanya lagi.

Pada Januari lalu, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyarankan CIDB memberi bantuan subsidi kewangan untuk ujian saringan Covid-19 melibatkan pekerja tapak pembinaan.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, bantuan tersebut dapat mengurangkan kos ditanggung kontraktor dan membolehkan pengasingan pekerja yang dikesan positif Covid-19. – MalaysiaGazette