Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedia memohon peruntukan tambahan daripada RM7 juta yang diluluskan, untuk subsidi ujian saringan Covid-19 bagi pekerja pembinaan warga asing berdaftar.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, peruntukan RM7 juta yang sudah diluluskan itu digunakan untuk menyaring kira-kira 140,000 pekerja pembinaan warga asing yang berdaftar dengan CIDB.

Bagaimanapun, katanya, jika lebih ramai pekerja asing mendaftar dengan CIDB untuk mendapatkan subsidi RM50 seorang itu, pihaknya akan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan.

“Satu daripada syarat untuk memohon skim ini ialah pekerja pembinaan warga asing ini perlu ada kad hijau. Kad hijau ini wajib untuk semua pekerja di tapak bina.

“Sepatutnya semua pekerja asing ada kad hijau. Sekarang, kira-kira 140,000 pekerja asing ada kad hijau ini dan jika setiap seorang diberikan subsidi RM50, maka kita sediakan peruntukkan awal RM7 juta.

“Bagaimanapun, kita galakkan pekerja asing yang tak berdaftar untuk mendapatkan kad hijau, dan mereka juga akan mendapat subsidi RM50.

“Jika jumlah yang memohon skim subsidi ini ramai, kita akan mohon peruntukan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media pencapaian setahun Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, mengumumkan peruntukan berjumlah RM7 juta akan disalurkan bagi membantu majikan, terutama syarikat kecil sederhana menyegerakan saringan Covid-19 terhadap pekerja asing yang berdaftar, dalam usaha mengurangkan jangkitan di tapak pembinaan.

Ahmad Asri berkata, ramai kontraktor menangguhkan saringan kepada pekerja asing mereka kerana berdepan masalah kewangan, menyebabkan beberapa projek pembinaan tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh.

“Kita nak percepatkan perkara ini, jadi peruntukan permulaan RM7 juta disediakan. Menerusi skim ini, ujian saringan Covid-19 akan dilaksanakan anak syarikat kita, CIDB Holdings.

“Kos ujian saringan ini ialah RM100 seorang pekerja. Jadi kita bagi subsidi RM50, dan majikan bayar baki RM50, dengan harapan lebih ramai kontraktor akan tampil untuk mempercepatkan saringan,” jelasnya. – MalaysiaGazette