ISTANBUL – Sebuah syarikat teknologi angkasa lepas yang berpengkalan di Istanbul dijangka membangunkan teknologi enjin hibrid bagi membolehkan Turki mencapai matlamat misinya ke bulan, kata Menteri Teknologi dan Industri, Mustafa Varank.

Delta V Space Technologies merancang untuk melancarkan rekot yang mampu memecahkan rintangan angkasa pada musim panas ini, kata Varank selepas melawat kemudahan syarikat itu.

“Kami menjangka Delta V membangunkan enjin yang membolehkan kita melancarkan sendiri ke angkasa untuk misi ke bulan,” kata menteri itu.

Kenyataan beliau menyusul selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan mendedahkan rancangan Program Angkasa Turki dalam tempoh 10 tahun yang  meliputi misi ke bulan, menghantar angkasawan ke misi saintifik dan membangunkan sistem satelit.

Pada bulan lalu, Erdogan berkata, Turki merancang untuk mewujudkan ‘hubungan pertama dengan bulan’ pada 2023 apabila negara itu meraikan penubuhan Republik Turki ke-100.

Misi ke bulan akan dilakukan dalam dua peringkat.

Pringkat pertama, pendaratan di bulan dengan roket hibrid buatan tempatan yang akan dilancarkan ke orbit pada penghujung 2023 menerusi kerjasama antarabangsa.

“Pada 2023, kami mahu melakukan hubungan dengan bulan untuk pertama kali dengan menggunakan teknologi asli nasional kita,” kata Varank.

“Kami akan melakukan pelancaran orbit pertama dengan kerjasama antarabangsa tetapi kami akan melancarkan roket nasional kita ke orbit dan bertemu kapal angkasa dengan bulan,” tambah beliau.

Pada peringkat kedua pada 2028, Turki akan melancarkan roketnya buatan sendiri di samping kapal angkasa.

Perancangan meneroka angkasa direka untuk meningkatkan penguasaan negara itu dalam pembangunan ekonomi angkasa, kata Varank.

“Turki mempunyai keupayaan pembangunan dalam bidang angkasa. Kami telah menetapkan sasaran dengan menggabungkan keupayaan ini dengan Program Angkasa Nasional yang disediakan oleh Agensi Angkasa Turki (TUA),” kata menteri itu.

TUA dutubuhkan pada 2018 dengan sasaran menyertai negara lain dalam program angkasa.

Enjin roket hibrid mempunyai kelebihan daripada aspek kos berbanding enjin roket lain dalam industri angkasa.

Banyak negra maju menyasarkan untuk menerajui dalam bidang angkasa dengan membangunkan sistem generasi baharu menerusi dengan roket hibrid. – Malaysiagazette