Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap ketika wawacara dan sidang media pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) 2020 di Kompleks Kerja Raya Jabatan Kerja Raya Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan memberikan perkhidmatan berdasarkan pilihan raya.

Sebaliknya, anggota gabungan bekerja sepanjang masa untuk mensejahterakan rakyat, kata Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Bila pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, saya tak pasti dan tak tahu.

“Pilihan raya atau tidak, cara kita bekerja adalah sama, iaitu berkhidmat kepada rakyat, negeri dan negara tanpa mengira waktu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Kerja Raya) berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media sempena setahun pencapaian Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.

Fadillah menegaskan, perancangan GPS adalah untuk jangka masa panjang bukan sahaja untuk pilihan raya semata-mata.

Ditanya bagaimana kekuatan politik GPS ketika ini, kata beliau, soalan itu sepatutnya ditanyakan kepada orang ramai.

“Kalau tanya saya, saya kata kuatlah.

“Kena tanyalah orang ramai, apa pandangan mereka terhadap GPS.

“Apa yang pasti kita dah berikan yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Dengan memberikan contoh, beliau berkata, apabila berdepan pandemik Covid-19, kerajaan Sarawak bukan sahaja bergantung dengan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, kerajaan negeri memberikan peruntukan yang banyak dalam memastikan rakyat di Sarawak tidak terkesan sangat akibat pandemik sama ada dari segi bekalan makanan atau pun bantuan kewangan, katanya.

Malah, ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk membantu barisan hadapan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beri peralatan pelindung diri (PPE), segala sokongan, termasuklah hingga membeli komputer dan sebagainya.

“Sarawak negeri yang besar tetapi kemudahan kesihatan agak terkebelakang.

“Jadi kerajaan Sarawak menerusi GPS sendiri yang membantu sebab menyedari kekangan kerajaan Persekutuan sekarang untuk agihkan bantuan seluruh negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette