Datuk Abdul Malik (tengah) Tan Sri Datuk Sri Datuk Richard (kiri) Datuk Wira Ameer Ali Mydin (kanan) pada sidang media maklum balas Business Survival Group terhadap penyataan Tan Sri Dr Noor Hisham berkenaan rentas negeri hanya di benarkan selepas 70 peratus rakyat di vaksin. Foto FIKRI YAZID 1 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Jika benar perlu menunggu sehingga 70 hingga 80 peratus rakyat menerima vaksin Covid-19 untuk membuka semula sekatan perjalanan, mungkin ketika itu semua jenis perniagaan sudah gulung tikar.

Itu luahan Penasihat Business Survival Group, Datuk Wira Ameer Ali Mydin yang merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 26 Februari lalu.

Menerusi sesi libat urus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama media yang berlangsung secara dalam talian, Dr. Noor Hisham berkata, sekiranya Malaysia sudah mencapai imuniti kelompok iaitu antara 70 hingga 80 peratus rakyatnya menerima vaksin Covid-19 mungkin kebenaran menarik balik sekatan rentas negeri akan dipertimbangkan.

Menurut Ameer, kumpulan yang mewakili 262 persatuan perniagaan dan dewan perdagangan membabitkan 950,000 perniagaan pelbagai sektor itu berharap kerajaan dapat meneliti semula kenyataan yang dikeluarkan itu.

 

Penasihat Business Survival Group Datuk Wira Ameer Ali Mydin bercakap pada sidang media maklum balas terhadap penyataan Tan Sri Dr Noor Hisham berkenaan rentas negeri hanya di benarkan selepas 70 peratus rakyat di vaksin. Foto FIKRI YAZID 1 MAC 2021.

“Bila buat sesuatu pengumuman saya harap tidak kira siapa pun, ambil kira apa akan terjadi kepada persekitaran perniagaan.

“Bila seorang yang berpengaruh buat pengumuman mengenai pembukaan sempadan sama ada rentas daerah atau negeri hanya bila 70 peratus menerima vaksin, secara automatik sentimen dan tahap keyakinan perniagaan akan menurun.

“Bila mendengar pengumuman seperti ini, semua orang merasa takut semula walau pun seminggu yang lalu kedai-kedai mula ramai pengunjung selepas kerajaan mengumumkan sekolah akan dibuka semula.

“Ibu bapa mula merasa yakin untuk keluar membeli barangan keperluan persekolahan, berjalan-jalan atau makan di luar tetapi bila pengumuman begini, tiba-tiba orang rasa takut semula. Apa sudah jadi?,” katanya pada sidang media di Bangsar Shopping Center, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, semua jenis perniagaan di negara ini amat terkesan dengan penularan Covid-19 yang mana kebanyakannya tidak mampu bertahan hingga tahun hadapan.

Dalam masa sama, Ameer turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya mempunyai perancangan yang lebih teratur dalam mengatasi penularan pandemik itu.

“Jika keseluruhan rakyat selesai divaksinasi sehingga awal tahun 2022, takkan la sehingga tahun depan baru boleh dibenarkan perjalanan antara negeri? Mati lah para peniaga.

“Ketika ini memang (perniagaan) nyawa-nyawa ikan tapi kalau benar begitu mungkin boleh mati terus,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Business Survival Group, Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, satu memorandum telah dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketika ini mereka masih menunggu maklum balas.

Datuk Abdul Malik bercakap pasa sidang media maklum balas Business Survival Group terhadap penyataan Tan Sri Dr Noor Hisham berkenaan rentas negeri hanya di benarkan selepas 70 peratus rakyat di vaksin di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID 1 MAC 2021.

Kata Abdul Malik lagi, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat ini.

“Kita juga berusaha untuk berjumpa dengan menteri-menteri yang berkaitan dengan Covid-19 terutamanya Menteri Kanan Keselamatan, Menteri Sumber Manusia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Menteri Dalam Negeri.

“Empat menteri ini kami berhajat untuk berjumpa dan memberi pandangan tentang industri,” katanya.

Namun menurut Abdul Malik, sidang media yang diadakan hari ini lebih memfokuskan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan yang disifatkan memberi impak negatif kepada semua jenis perniagaan di negara ini. – Malaysia Gazette.

Rentas sempadan dibenarkan sekiranya 70 peratus rakyat telah divaksinkan

1 Komen

  1. Alhamdulillah. Saya sokong Ketua Pengarah KKM. Dulu dah buka rentas negeri, meloncat naik kes Covid. Kalau boleh biar semua rakyat Malaysia dapat suntikan penuh vaksin baru benarkan rentas negeri.

Comments are closed.