Bayi lelaki berusia 15 bulan terperangkap dalam kereta sebelum diselamatkan pihak bomba.

KEPALA BATAS – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bayi lelakinya terperangkap dalam sebuah kereta di Jalan Paya Keladi Hujung, Bertam di sini hari ini.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Ammar Al-Faqeh Mohd Nazri berusia 15 bulan dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh ibunya bagi mengambil barang di bengkel peladang kira-kira tiga meter dari lokasi keretanya diparkir.

Dipercayai anaknya tertekan tombol kunci pintu sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan terkunci dari dalam.

Bomba menggunakan peralatan khas mengeluarkan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bertam, Pegawai Kanan Bomba II, Syahidan Sahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenainya pukul 11.23 pagi sebelum sepasukan bomba bergegas ke lokasi.

Kata beliau, mangsa dipercayai ditinggalkan ibunya dalam keadaan enjin kereta masih hidup dan pendingin hawa dipasang.

“Kanak-kanak berkenaan terperangkap lebih kurang lima minit dalam kereta jenis Perodua Kelisa dipandu ibunya. Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta berkenaan selama 10 minit,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Syahidan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kelihatan ceria ketika diselamatkan.

“Mangsa diserahkan kepada ibunya pada jam 11.38 pagi,” ujar beliau.- MalaysiaGazette