Reaksi murid sekolah darjah satu balik sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Rendah Bukit Bandaraya, Bangsar. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Meskipun berusia tujuh tahun namun sebenarnya majoriti murid Tahun 1 kini sudah mengetahui norma baharu yang perlu diamalkan di sekolah.

Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya mendapati majoriti ibu bapa sudah tidak lagi dihantui  kebimbangan yang keterlaluan semasa menghantar anak masing-masing ke sekolah.

Bagi Fiza Ayub, 41, pendedahan yang diberikan kepada anaknya sejak prasekolah lagi membuatkan anaknya kini lebih mudah memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi mencegah penularan Covid-19.

Fiza Ayub. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

“Sebab anak Darjah 1 memang ada rasa bimbang tapi harap tiada apa-apa. Kita pun perlu adaptasikan diri dengan norma baharu apa sahaja kita kena terima.

“Prasekolah anak saya sudah biasa dengan SOP, sudah dilatih jadi pada dia sudah biasa, Kalau keluar ke pusat membeli belah pun dia tahu tentang SOP,” katanya.

Bagi Shawudah Muhammad, 36, pula mengambil pendekatan untuk sentiasa mengingatkan anaknya sebelum ke sekolah tentang amalan SOP.

Shawudah Muhammad.Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

Ujarnya, itulah peranan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak agar sentiasa waspada dan mengerti perihal SOP.

“Setakat ini pemerhatian saya anak saya lebih baik dari semalam. Semalam agak kelam kabut ibu bapa macam saya pertama kali hantar anak ke sekolah Darjah 1, anak pertama pula. Untuk hari kedua ini ia lebih teratur.

“Anak saya pun ke sekolah dalam keadaan bersedia dan dia tahu apa yang kena buat di sekolah. Semalam, dia agak keliru sebab sudah lama tidak ke sekolah.

“SOP di mana-mana perlu diamalkan. Memang kita ajar hari-hari di rumah dan di mana-mana. Jadi dia akan buat juga sebab tengok hari-hari,” katanya.

Keyakinan Shawudah bertambah apabila kerajaan melaksanakan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat.

“Setakat ini pengurusan sekolah pun dalam keadaan terkawal, sekolah pun datang berperingkat, agak lega daripada yang sebelum ini bercampur semua pelajar,” ujarnya.

Bagi seorang ayah seperti Logaraja, 45, beliau gembira melihat anaknya teruja mahu pergi sekolah selepas lama bercuti.

Logaraja. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

Selain yakin dengan pengurusan SOP pihak sekolah, ujarnya inilah masanya untuk anak-anak kembali belajar secara bersemuka dengan guru di sekolah.

Perkara paling mustahak jelas Logaraja, pendedahan kepada anak-anak yang bermula dari rumah berkenaan amalan norma baharu yang bermula dari rumah.

Logaraja berkat, anaknya sudah faham keutamaan SOP yang perlu diikuti kerana telah mengalami sendiri pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

“Hari ini anak saya kelihatan okay dia memang teruja selepas cuti panjang. Sekarang tiba masanya dia nikmati sesi persekolahan. Saya tidak bimbang hantar anak ke sekolah, sistem sekolah pun okay, semua ikut prosedur yang ditetapkan.

Reaksi murid sekolah darjah satu balik sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Rendah Bukit Bandaraya, Bangsar. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

“Memang kita kena selalu bagitahu mereka bagaimana cara bercakap dengan kawan dengan jarak 1 meter. Mereka pun tahu sebab di rumah kita selalu cakap dan ingatkan

“Anak pun tahu sebab sebelum ini tidak boleh keluar rumah, tidak boleh pergi mana-mana, anak tahu sebab apa,” katanya lagi.

Untuk rekod, prasekolah, murid Tahun Satu dan Tahun Dua memulakan sesi persekolahan sejak semalam.

Manakala untuk murid Tahun Yiga, Empat, Lima dan Enam pula bermula 8 Mac ini. –  MalaysiaGazette