Seorang peniaga dituduh di Mahkamah Majistret Butterworth atas kesalahan memindahkan babi hidup tanpa kebenaran pihak veterinar negeri.

BUTTERWORTH – Seorang peniaga dijatuhi hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memindahkan sebanyak enam ekor babi hidup tanpa kebenaran.

Majistret, Nurul Huda Idris membuat keputusan itu selepas Tan Hong Haw, 27, mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda manakala hasil jualan ternakan sebanyak RM1,200 dilucut hak dan menjadi hasil kerajaan.

Mengikut pertuduhan, Hong Haw didakwa memindahkan enam ekor babi hidup dari Jalan Tingkat Selamat 9, Kampong Selamat, Tasek Gelugor ke rumah sembelihan babi Hi-Good Corporation menggunakan lori tanpa kebenaran daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar atau mana-mana jabatan berkenaan.

Enam ekor babi hidup dipindah menggunakan lori tanpa kebenaran pihak veterinar negeri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Ogos lalu sekitar jam 12.15 tengah hari.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta penyakit kuku dan Mulut) 2003 dibawah Subseksyen 36 (1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (akta 647) dan boleh dihukum dibawah Subseksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013.

Dia boleh didenda tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang,Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu tertuduh meminta mahkamah mengurangkan jumlah denda yang ditetapkan majistret.

Tertuduh, Tan Hong How didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

Bagaimanapun pihak pendakwa meminta hukuman setimpal terhadap tertuduh agar ia menjadi pengajaran kepada pemilik dan peniaga daging sekali gus memastikan wabak penyakit daripada haiwan itu tidak menular.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM6,000 dan tertuduh membayar denda tersebut.-MalaysiaGazette