Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz selesai memberi keterangan kira-kira dua jam kepada Tribunal Lembaga Disiplin UMNO semalam.

Menurut Tun Faisal, beliau hadir ke tribunal berkenaan pada pukul 2.45 petang dan sesi itu tamat sekitar pukul 4.15 petang.

“Saya dipanggil atas sebab dituduh melanggar peraturan parti, bila masuk ke tribunal itu saya diterangkan tentang prosiding dan pada mulanya berlaku perbezaan pendapat sedikit antara saya dan anggota tribunal.

“Selepas itu semuanya berjalan lancar dan saya diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyampaikan hujah balas terhadap tuduhan yang dibuat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, keputusan berkaitan tribunal berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat namun beliau tidak dimaklumkan tarikh sebenar.

Tambahnya,  sekiranya keputusan yang dibuat adalah tidak wajar, beliau tidak akan teragak-agak untuk membuat rayuan semula mengenai perkara tersebut.

“Cuma nanti keputusan kita tengok lah, jika keputusan itu saya anggap wajar dan adil, insyaAllah saya boleh terima.

“Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci mengenai apa yang berlaku semalam, cuma saya boleh beritahu saya tidak mengaku bersalah atas tuduhan yang dibuat dan kesemua hujah saya adalah berasaskan fakta terhadap aduan yang dibuat,” katanya.

Sebelum ini, pegawai kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu diminta mengemukakan surat tunjuk sebab serta diarahkan hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO kerana dilaporkan membuat kenyataan yang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas percubaan untuk membawa parti menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya LETAK Jawatan sejak kes beliau bermuala lagi walaupun apa2 alasan termasuk buku tommy tomato menyatakan yang menimbulkan keliruan.
    Apa yang beliau lakukan kepada bahagian2 yang tidak menyokong serta memilih Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dahulu.Bahagian serta cawangan2 sampai sekarang.Sepatutnya beliau rapatkan jurang pemisahan atau buang cantas keting.

Comments are closed.