Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay telah menunjuk salah seorang suspek yang mengaku bergelar 'Datuk Sri' atas tudahan terlibat kes ugutan jenayah terhadap polis.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan yang mengaku dirinya ‘Datuk Seri’ bersama seorang lagi rakannya telah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Baharu semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia ekoran kesĀ  pemerasan di kawasan Sri Alam di mana mangsa telah didatangi oleh dua lelaki warga tempatan pada 22 Februari lalu.

“Salah seorang suspek telah mengaku sebagai Datuk Seri dan melakukan pemerasan meminta mangsa membayar sejumlah hutangnya dengan kekerasan.

“Berikutan aduan tersebut, kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu sidang rasmi di laman Facebook rasmi Polis Johor hari ini.

Selain itu, Ayob Khan berkata, pada tarikh yang sama, polis telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki yang berusia 56 dan 41 tahun tersebut untuk siasatan.

“Daripada hasil siasatan yang dibuat, hasil semakan rekod lelaki yang mengaku sebagai Datuk Seri tersebut didapati mempunyai pelbagai rekod lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali tindakan di bawah Ordinan Darurat di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak sekitar tahun 80-an dan 90-an.

“Kedua-dua suspek telah dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, suspek yang mengaku sebagi Datuk Seri pula turut dikenakan satu lagi pertuduhan kerana mengugut pengawai polis yang menangkapnya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Hukuman kesalahan telah dikenakan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun, denda atau dengan kedua-duanya. -MalaysiaGazette