Golongan warga emas kini boleh melakukan suntikan vaksin Covid-19 menerusi kaedah pandu lalu atau tanpa perlu keluar daripada kenderaan di Indonesia.- Gambar hiasan.

JAKARTA – Golongan warga emas kini boleh melakukan suntikan vaksin Covid-19 menerusi kaedah pandu lalu atau tanpa perlu keluar daripada kenderaan di Indonesia.

Program Vaksinasi Covid-19 itu dimaklumkan menerusi aplikasi Halodoc yang akan dilancarkan bermula 3 Mac ini.

Lapor Kompas.com, perkara itu disahkan oleh Jurucakap Program Vaksinasi Covid-19, Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi.

Menurutnya, program itu akan dilakukan di kawasan yang luas bagi memudahkan orang ramai.

“Kaedah pandu lalu itu akan dilakukan di tempat yang luas bagi memudahkan kenderaan keluar dan masuk untuk membawa warga emas menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Menerusi Haladoc, program suntikan vaksin secara pandu lalu itu merupakan program rasmi Kementerian Kesihatan yang ditawarkan secara percuma dan akan disediakan di ruangan parkir C, Expo Antarabangsa Jakarta.

Halodoc juga memaklumkan, setiap individu boleh mendaftar dan memilih jadual suntikan vaksin mengikut kesesuaian masing-masing.

Dalam pada itu, suntikan yang akan diberikan kepada orang awam adalah vaksin Sinovac dari PT Bio Farma.

Orang ramai juga diingatkan supaya membawa Kad Pengenalan (KTP) sebelum menerima vaksin dan golongan berusia 60 tahun ke atas mesti hadir bersama pembantu bagi tujuan keselamatan selepas divaksin, memakai baju yang sesuai dan hadir dengan kenderaan. – Malaysiagazette