Aung San Suu Kyi

YANGON – Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dikenakan dua pertuduhan jenayah baharu menerusi sidang video di mahkamah negara itu.

Pertuduhan baharu ke atas Suu Kyi ialah melanggar undang-undang komunikasi dan berniat untuk menimbulkan rusuhan orang ramai.

Suu Kyi tidak kelihatan di hadapan umum sejak ditahan pada 1 Februari lalu selepas rampasan kuasa diambil alih oleh tentera.

Pada Ahad lalu, penunjuk perasaan turun untuk melakukan demonstrasi membantah rampasan kuasa yang tercetus di seluruh negara itu.

Seramai 18 orang terbunuh ketika polis dan tentera cuba menyuraikan tunjuk perasaan berkenaan.

Sebelum ini, Suu Kyi, 75, telah ditahan dirumahnya di Nay Pyi Taw dan berdepan tuduhan jenayah yang tidak jelas kerana memiliki walkie-talkie tanpa izin.

Selain itu, beliau juga didakwa melanggar sekatan Covid-19 dengan mengadakan acara kempen sepanjang pilihan raya tahun lalu.

Peguamnya, Khin Maung Zaw berkata Suu Kyi dituduh menggunakan peralatan komunikasi haram dan menyebabkan ‘ketakutan serta kebimbangan’.

“Kami tidak dapat jumpa Suu Kyi lagi dan hanya mendengar dari sebuah bilik kecil kerana hakim tidak mengizinkan kami bertemu denganya buat masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette