Petugas HKL membuat persiapan sebelum melakukan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2021.

KUANTAN – Penangguhan pemberian vaksin Covid-19 kepada penerima yang dijadualkan dari 2 hingga 4 Mac di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bukan disebabkan isu ‘potong barisan’ tetapi kerana bekalan dos habis, kata Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah.

Beliau berkata, bekalan dos yang diterima negeri itu habis dimanfaatkan oleh petugas barisan hadapan sebaik program imunisasi COVID-19 peringkat negeri bermula Jumaat lepas.

“Keadaan ini menyebabkan jadual suntikan yang dibuat sebelum ini perlu ditangguhkan kepada tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas kita menerima bekalan baharu vaksin yang dijadualkan dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, saya tegaskan bahawa tiada isu potong barisan berlaku, sebaliknya disebabkan kekurangan vaksin. Sudah pasti keutamaan kita ialah petugas barisan hadapan dalam pemberian vaksin,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Bahari mengulas dakwaan yang tular di Facebook semalam, mendakwa penangguhan itu disebabkan “vaksin hendak diberi terlebih dahulu kepada orang kayangan”.

Pahang menerima 23,400 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech dengan 9,360 dos diagihkan kepada HTAA pada Khamis lepas.

“Saya berharap orang ramai tidak membuat dakwaan sendiri berhubung perkara ini, sebaliknya boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Pahang bagi mendapatkan maklumat sebenar. Jika mereka berbuat demikian, kami sedia menjawab dan memberi kerjasama sebaiknya,” tambah Dr Bahari. – Bernama