Penghantaran pertama vaksin AstraZeneca sudah tiba di Malaysia.

PARIS – Kerajaan Perancis memaklumkan warga emas kini boleh mendapatkan vaksin AstraZeneca Covid-19, selepas menyemak semula pendirian mengenai penggunaan vaksin tersebut.

“Mereka boleh divaksin dengan AstraZeneca, termasuk warga emas yang berusia antara 65 dan 74 tahun,” kata Menteri Kesihatan Perancis, Oliver Veran.

Bulan lalu Perancis hanya meluluskan vaksin bagi warga emas di bawah 65 tahun sahaja disebabkan kekurangan kajian ke atas usia melebihi angka tersebut.

Bagaimanapun, beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan suntikan vaksin berkenaan efektif dalam kalangan warga tua.

Vaksin yang dihasilkan oleh UniversitiOxford-AstraZeneca kini digunakan secara meluas di United Kingdom tetapi beberapa negara Kesatuan Eropah mengehadkan penggunaannya di bawah 65 tahun termasuk Jerman.

Pengawas selia EU elah meluluskan vaksin itu untuk semua orang dewasa, tetapi terserah kepada setiap anggota untuk menetapkan polisi vaksinasi sendiri.

Pada bulan Januari Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengatakan vaksin AstraZeneca “hampir tidak berkesan” untuk kumpulan usia yang lebih tua – dakwaan yang ditolak oleh pegawai dan saintis United Kingdom pada masa itu.

Hanya 273,000 dos AstraZeneca telah diberikan di Perancis daripada 1.7 juta yang diterima pada akhir Februari, kata Veran. – MalaysiaGazette