Peta kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen P.165 Tanjung Piai Johor

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) telah mula berbincang mengenai pengagihan kerusi dengan fasa pertama perundingan membabitkan kerusi yang ditinggalkan Bersatu.

Selepas Amanah menyatakan mahu bertanding di 52 kerusi “tinggalan” Bersatu, DAP pula tidak memberi laluan di kerusi Parlimen Tanjung Piai di Johor dan Alor Gajah di Melaka.

Dua kerusi itu secara tradisinya telah ditandingi DAP, tetapi parti itu “meminjam” kepada Bersatu dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut Sinchew Daily, selain dua kerusi itu yang dijangka dikembalikan kepada DAP, baki 50 kerusi akan dibahagikan antara PKR dan Amanah.

Memandangkan perundingan masih berjalan, maka keputusan muktamad masih tidak tercapai.

Merumitkan keadaan, kemungkinan akan berlaku perundingan dengan Pejuang selepas selesainya rundingan dalaman PH.

“Pada masa ini, kami berbincang sesama sendiri.
“Jika mahu berbincang dengan parti lain, ia bergantung kepada parti komponen PH berkaitan yang menerima satu-satu pengagihan kerusi,” kata sumber.

Dalam pilihan raya umum lalu, Bersatu bertanding di 52 kerusi Parlimen dan berjaya memenangi 13 kerusi.

52 kerusi itu kini diintai oleh parti-parti komponen PH iaitu PKR, Amanah dan DAP.

Menurut sumber, perbincangan fasa pertama membabitkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin; Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook dan Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Asmuni Awi

Tegas sumber, perbincangan dengan parti pembangkang lain hanya akan dijalankan selepas rundingan dalaman PH diselesaikan. — MalaysiaGazette