logo 1mdb
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Firma audit, Deloitte PLT (Deloitte) telah bersetuju dengan suatu penyelesaian bernilai RM324 juta (AS$80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka di dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (“SRC ”) bagi tempoh 2011 hingga 2014.

Kementerian Kewangan berkata, penyelesaian itu merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

“Kejayaan penyelesaian luar mahkamah dengan Deloitte akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian tersebut untuk memenuhi kewajiban tertunggak 1MDB dan SRC, tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 26 Februari lalu, Kerajaan berjaya mencapai penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion berkaitan dengan penglibatan sebuah kumpulan perbankan di dalam isu 1MDB.

Pada Julai 2020, Kerajaan berjaya dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (USD3.9 bilion).

Katanya, kesemua penyelesaian itu tidak akan mempengaruhi
atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, dan yang masih giat dicari berhubung dengan skandal

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz berkata, ia merupakan satu lagi kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan Kerajaan Malaysia terhadap pihak yang terlibat dalam 1MDB, SRC dan entiti yang berkaitan dengannya.

“Kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette