Anggota Bomba dan Penyelamat dilihat membawa jenazah mangsa yang terperangkap di dalam sebuah van pekerja selepas dihempap sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap dalam sebuah van kilang yang dihempap runtuhan di lebuh raya dalam pembinaan berhampiran Desa Tasik Sungai Besi, Cheras  selesai kira-kira pukul 9.30 malam selepas mengambil masa lebih tiga jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Nordin Pauzi berkata, keempat-empat mangsa wanita yang berada di kerusi penumpang belakang berada dalam keadaan terhimpit akibat keadaan van yang remuk teruk.

“Pemandu lelaki dikeluarkan dalam keadaan selamat manakala empat mangsa wanita berada di kerusi tempat duduk belakang dalam keadaan terhimpit dan sukar dikeluarkan.

“Mereka ini terhimpit oleh besi bersama kerangka jejantas jadi, operasi ini mengambil masa yang cukup lama kerana kita berusaha untuk selamatkan mangsa supaya tidak terhimpit dengan lebih teruk lagi.

“Kita terpaksa gunakan pelbagai alatan sokongan dengan bantuan kontraktor pembinaan serta tiga buah kren untuk mengangkat kerangka besi tersebut,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, kerja-kerja menyelamat mengambil masa yang panjang kerana runtuhan tersebut perlu distabilkan terlebih dahulu bagi mengelak runtuhan lain daripada berlaku.

Tambah Nordin, runtuhan struktur kerangka tersebut perlu diangkat terlebih dahulu menggunakan kren sebelum anggota dapat mengeluarkan mangsa dari van berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, dua mangsa yang terperangkap dalam van kilang yang dihempap runtuhan struktur binaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai-Besi Ulu Kelang (SUKE) maut manakala tiga lagi termasuk pemandu van terselamat. – Malaysia Gazette