Kerja membaik pulih kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang yang terbakar baru-baru ini akan dilakukan mulai esok.

GEORGE TOWN – Kerja membaik pulih kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang yang terbakar baru-baru ini akan dilakukan mulai esok.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tempoh untuk membaik pulih sepenuhnya kabel tersebut dijangka memakan masa selama 119 hari.

Kata beliau, TNB bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam pelantikan kontraktor untuk menjalankan kerja membaik pulih tersebut.

“Jika tiada apa-apa halangan, kontraktor yang dilantik itu akan mula kerja baik pulih esok. Proses baik pulih kabel itu mengambil masa selama 119 hari atau kira-kira empat bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika cek pada Program Ceria Ke Sekolah TNB di Menara JKP di sini hari ini.

Tambah Mahdzir, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kos membaik pulih masih dalam penilaian.

“Kita belum dapat maklumat penuh dari Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai punca kebakaran pada kabel tersebut,” kata beliau.

Pada 22 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan TNB mengesahkan kabel 132 kilo volt (kV)di bahagian bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar.

Kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara menyebabkan keadaan trafik di atas jambatan tersebut sesak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang: TNB mohon maaf